Saturday 30 July 2011

BULAN RAMADHAN


  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :


    1. (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :


      (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)

Friday 29 July 2011

Demam k0rea


Saban hari, jika kita lihat, semakin ramai yang meminati artis artis Korea.Jika kita bertanya tentang nama artis artis yang mereka sukai, maka pastilah akan menjawab dengan yakin sekali.Tetapi jika kita menanyakan tentang nama nama para ulama, adakah mereka akan menjawab dengan yakin seperti mana yang mereka jawab tentang artis K0rea itu? Semestinya tidak..Memang tidak salah untuk meminati artis tersebut tetapi janganlah terlalu FANATIK terhadap mereka kerana kelak buruk padahnya...siapa yang terasa harap dimaafkan kata kataku yang agak lancang ini..Bukan apa, sebagai memperingati diri ini sahaja...   

Thursday 28 July 2011

alt      Secara tidak sedar, bulan Ramadhan semakin menghampiri kita.Hanya dalam masa dalam lebih kurang 4 hari lagi, maka kita akan menyambut Ramadhan Al Mubarak. Justeru, kita sebagai umat Islam haruslah meng'ihyakan bulan yang paling diberkati agar kita dicucuri rahmat-Nya.Ameen ya Rabbal A'lamin.Antara kaedah2 untuk menghidupkan Ramadhan adalah dengan berbuka puasa atau kita panggil "ifthar".Selain itu, rajin rajinlah kita berjalan ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih secara berjemaah.Ini tidak, setelah selesai berbuka puasa, ada yang terus melabuhkan punggungnya di atas katil.Malah ada juga yang berbual bual kosong dengan teman- teman di kala para Muslim sedang melakukan ibadah kepada-Nya.Itulah dunia zaman sekarang...bermacam macam ragam.Ingatlah kawan kawan, bulan Ramadhan inilah bulan untuk kita mendapat keampunan dari Allah, bulan kita mendapat rezeki yang diberikan oleh Tuhan dan bulan diturunkan Rahmat.

Layakkah Aku Menjadi Permaisurinya?

Batrisya.Gadis pujaan para teruna. Jika ada kata-kata untuk menggambarkan kecantikan dan keayuannya, pasti bait-bait ini menjadi pilihan.Wajahnya sebujur sirih, alis matanya lentik, pipinya bak pauh dilayang, bibirnya merah delima, rambutnya hitam ikal mayang
Siapa tidak kenal Batrisya? Pujaan jejaka dari kampung hulu hinggalah ke kampung seberang.Ada yang sanggup merantau dari bandar ke pekan hanya semata-mata untuk menyaksikan sendiri keindahan dan kecantikan Batrisya yang sering menjadi topik perbualan hangat setiap jejaka yang telah terkena panahan matanya.Mata yang sering kali melemparkan kerlingan manja sehingga mamak yang tengah buat roti canai pun boleh tersalah menu.
" Assalamualaikum"
Lontaran suara yang matang tersebut segera menarik perhatian Batrisya untuk melihat pemiliknya. Dia segera membetulkan rambutnya yang dibiarkan lepas separas bahu.
"Waalaikumsalam"
Jawapan yang sememangnya dinantikan oleh jejaka yang sedari tadi tercegat di atas tangga rumahnya. Tersentak jejaka tersebut apabila terlihat olehnya akan susuk yang begitu indah lagi menawan. Di dalam hati kecilnya berbisik
" Alangkah manisnya jika susuk yang indah ini dipelihara daripada pandangan ajnabinya"
" Astarghfirullahalazim....apa yang aku fikir ni?" Jejaka tersebut beristighfar panjang. Betapa dia tadi telah tergoda oleh jelingan mata tersebut yang hanya merupakan panahan syaitan semata-mata. Dia segera menundukkan pandangannya. Dengan nada yang agak tegas dia pun bersuara.
" Ustaz Jamil ada?"
Dengan suara yang sengaja dilembutkan, Batrisya menjawab persoalan tersebut sambil matanya cuba menangkap pandangan jejaka tampan yang sedang berdiri di hadapannya.
" Ayah tidak ada di rumah. Dia baru saja ke masjid. Ada urusan di sana. Masuklah dahulu"
Urusan yang sememangnya dia sendiri tidak pasti kerana dia sendiri pun sudah tidak ingat bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid yang hanya beberapa minit sahaja jauhnya dari rumahnya.
" Masuk? Ah! Tidak mungkinlah! Tidak mungkin aku menceroboh masuk ke dalam rumah seorang wanita yang haram bagiku" bisik hati kecilnya dengan penuh ketegasan.
" Tidak mengapa. Kalau sudah begitu, saya akan ke masjid sahaja. Terima kasih"
dia segera berlalu pergi tanpa menghiraukan Batrisya yang masih memerhatikan setiap langkah kakinya.
Selama ini, tidak ada seorang jejaka di kampung tersebut yang mampu memiliki cinta Batrisya. Biar diberikan tanah sedunia dan selautan emas sekalipun, Batrisya tidak mudah menyerahkan cintanya kepada mana-mana jejaka yang cuba memilikinya. Sudah hampir sekampung pinangan datang kepadanya, namun tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya. Dia lebih selesa hidup membujang dan membuat lelaki-lelaki tersebut mabuk kepayang dan sakit rindu kerana terlalu ingin memilikinya. Dia berasa bangga apabila dipuja sebegitu.
Tetapi, sejak kemunculan jejaka tersebut yang tiba bagai angin lalu pada hari itu, Batrisya menjadi tidak keruan. Tidurnya sekejap ke kiri,sekejap ke kanan. Makannya tidak pernah kenyang dan perubahan pada puteri tunggal kesayangannya itu memang ketara sekali pada pandangan mata Ustaz Jamil.
Pada suatu malam yang sepi, setelah selesai solat berjemaah di masjid,Ustaz Jamil segera pulang ke rumah. Pada kebiasaannya, dia akan terus duduk di masjid sehingga larut malam sambil membincangkan urusan-urusan di kampung yang sudah sememangnya menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua kampung. Tidak lupa juga dia memberi tazkirah pendek buat santapan rohani setiap jiwa yang hadir untuk solat berjemaah. Tetapi, perasaannya kali ini tidak enak. Perubahan sikap Batrisya sangat merisaukan baginya. Dia melangkah pantas meredah angin malam.
Setibanya di rumah, dilihatnya Batrisya duduk termenung di tepi tangga. Hampir setiap malam Batrisya duduk di situ sambil memerhatikan bulan yang sememangnya pada waktu itu sedang mengambang penuh. Perlahan-lahan Ustaz Jamil menghampiri puteri kesayangannya itu.
Sejak pemergian isteri tercinta, Batrisya, yang selalu menjadi peneman dan penghibur Ustaz Kamil. Sungguh kasihnya dia pada Batrisya sehingga dia tidak pernah sanggup untuk menjentik anak itu walau sekalipun. Kedegilan Batrisya ketika diajak menunaikan solat juga tidak mampu ditanganinya.
Ustaz Jamil sedar, sebagai seorang bapa, betapa dia telah gagal mendidik anaknya menjadi wanita solehah sesuai pesanan arwah isterinya, dan kerana itulah dia menangis dan meratap sedih setiap kali dirinya datang "mengahadap" Allah. Bukan dia tidak mahu anaknya menjadi seorang mujahidah, dia cuma terlalu sayangkan Batrisya sehingga sebesar apapun kesalahannya, Ustaz Jamil tidak sedikitpun memarahi Batrisya. Walaupun begitu, setiap malam, Ustaz Jamil akan memberikan peringatan dan menceritakan pelbagai kisah Ummul Mukminin buat Batrisya kerana Batrisya sangat suka akannya.
Dan seperti biasa, pada malam itu, Ustaz Jamil berhajat untuk meneruskan ceritanya yang masih bersisa semalam. Dia duduk di sisi Batrisya kemudian menatap wajah ayu persis isterinya itu. Dia tersenyum sendiri terkenangkan saat dia dan isterinya duduk di tangga itu 10 tahun yang lalu. Tidak ubah seperti hari ini. Sungguhpun bertahun dia menanggung derita atas pemergian ratunya, dia tetap bersyukur kerana Allah masih menyayanginya dengan mengurniakan sebutir permata yang baginya begitu indah dan berharga.
" Abah, bulan itu cantik kan?" bisik Batrisya perlahan sambil matanya masih memerhatikan bulan yang nun jauh di sana. Tidak berkelip sedikitpun.
Ustaz Jamil segera mengalihkan pandangannya ke arah bulan tersebut. Lama dia berfikir sambil menatap bulan tersebut. Setelah hampir sepuluh minit, Ustaz Jamil pun bersuara.
"Cantik, nak. Bila bulan mengambang penuh macam ni, lagi cantik. Cuba lihat pula pada bintang-bintang yang mengelilingi bulan itu. Bintang pun tak kurang cantiknya. Tanpa bintang-bintang tu, bulan takkan tampak secantik dan semegah itu"
Ustaz Jamil mengatur ayat-ayatnya lagi. Malam ini, dia berhasrat untuk menyampaikan sebuah berita besar buat Batrisya. Berita yang dia sendiri pun tidak tahu akan penerimaannya nanti. Dia bersuara lagi.
"Batrisya...Bulan yang mengambang penuh dan cantik tu samalah seperti kaum wanita yang telah diciptakan oleh Allah di muka bumi ni. Diciptakan dengan fizikalnya yang menarik dan memang indah pada pandangan lelaki. Tetapi, setakat itu sajalah cantiknya. Sama seperti bulan tanpa cahaya bintang. Tidak akan jadi seindah bulan pada malam ini.
Tapi, bulan pada malam ni, dipagari dan dikelilingi oleh bintang-bintang yang gemerlapan sinarnya, tidak ubah seperti wanita-wanita yang menutup segala anugerah Allah itu dengan pakaian yang sepatutnya, yakni pakaian yang menutup aurat. Tidak ketat, tidak nipis, tidak jarang, tidak pula terlalu terang sehingga menarik perhatian mata-mata yang memandang. Wanita-wanita seperti itulah yang paling cantik Batrisya. Seperti cantiknya bulan yang dipagari bintang"
Hati kecil Batrisya tiba-tiba tersentuh apabila mendengarkan kata-kata ayahnya yang penuh bermakna itu. Dia cuba mencernanya perlahan-lahan dan kemudian menatap mata ayahnya dalam-dalam. Kemudian merenung semula ke arah bulan tersebut.
"Batrisya, abah ada sesuatu nak beritahu ini. Hari tu, waktu abah masih di masjid, ada pemuda datang jumpa abah. Taufik namanya. Budak itu baik orangnya, nak. Dari gaya dan cara dia membawa diri, abah tahu dia seorang pemuda yang soleh. Dah beberapa hari ni abah perhatikan dia. Solat jemaah di masjid tak pernah tinggal. Rajin pulak membantu orang-orang kampung membersihkan masjid tu. Hari tu, ayah terdengar dia bertarannum di masjid. Bagus sekali, nak. Orangnya sopan dan lemah lembut. Kalau boleh"
Belum sempat pun Ustaz Jamil menghabiskan ayatnya, Batrisya sudah mula memotong.
"Apa dia abah? Abah nak jadikan dia menantu abah ke? Abah, cuba abah fikir baik-baik. Layak ke perempuan macam Batrisya ini jadi pendamping lelaki soleh macam dia, abah? Solat pun sekali-sekala. Al-quran? Tak usahlah abah cerita. Dah bertahun agaknya Batrisya tak baca. Dah tak tahu kat mana Batrisya simpan. Pakai tudung pun tidak. Menutup aurat? Jauh sekali. Layak ke Batrisya untuk orang macam itu, abah?"
Dengan nada keras dan linangan air mata, Batrisya mengucapkan kata-kata tersebut. Dia sedih apabila mengenangkan segala kelemahan dan keburukan dirinya. Sedih apabila mengenangkan dirinya yang tidak pernah sekalipun "bertemu" Allah dalam tahun itu. Sedih apabila mengenangkan segala-galanya, tentang dirinya. Sungguh telah lama dia tersesat dan menjadi seorang pendosa. Cerita ayahnya mengenai bulan dan wanita menambahkan lagi kesedihannya.
Sungguh selama ini dia telah membiarkan dirinya menjadi mangsa pandangan mata-mata yang dipenuhi penyakit zina itu. Sungguh dia selama ini membiarkan susuknya yang menawan menjadi santapan bagi penagih-penagih cintanya. Terlalu banyak dosanya sehingga tidak terhitung lagi. Bukan dia tidak mahu berubah. Dia cuma takut akan pandangan orang-orang kampung terhadapnya nanti. Apa kata orang kampung andainya Batrisya yang selama ini dipuja-puja atas kecantikan dan keayuannya menutup semua anugerah itu dengan pakaian yang akan menghalang setiap mata yang cuba menembusinya? Dia cuma terlalu malu dan takut untuk berubah.
Taufik pula.Jejaka yang jauh sekali tinggi darjatnya berbanding dirinya yang lemas dibelenggu kesesatan yang dia ciptakan sendiri. Tidak perlu baginya untuk menemui dan mengenali Taufik sendiri. Dari cerita ayahnya sahaja dia sudah tahu betapa berbezanya dia dengan Taufik. Bagai langit dan bumi. Jejaka yang soleh seperti Taufik sesuaikah menjadi teman hidup seorang pendosa sepertinya?Dia tidak pernah lupa akan janji Allah buat seluruh umat manusia yang selalu disebut-sebutkan oleh ayahnya.
"Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula)" (an-Nur 24:26)
Taufik sudah pastinya seorang lelaki yang baik. Tapi, dirinya? Siapa dirinya? Dia hanya seorang perempuan yang dia kira selayaknya menjadi milik lelaki-lelaki yang seringkali memuja dirinya kerana kecantikan yang dia tonjolkan jauh panggang dari api! Tidak mungkin lelaki seperti itu mahu, andainya wanita sepertinya menjadi suri hidup mereka.
Hanya akan memburukkan nama dan menjatuhkan maruah sahaja. Batrisya masih mendiamkan diri dengan deraian air mata. Menyesali segala kesilapan dan dosanya terhadap Yang Maha Esa. Dosanya terhadap Sang Pencipta yang telah mengurniakan dirinya dengan anugerah yang menjadi igauan wanita-wanita lain di kampung itu. Kecantikan. Itulah anugerah milik Allah yang selama ini telah dia cabuli dengan menonjolkannya buat tatapan lelaki lain selain lelaki yang selayaknya. Tidak lain tidak bukan, Suaminya.
"Ya Allah. Hamba berdosa pada-Mu. Masihkah lagi ada ruang di sisi-Mu buat hamba yang hina dan jijik ini?"ratap Batrisya tanpa menyedari bahawa Ustaz Jamil masih lagi ada di sisinya.
Batrisya sudah tidak kuasa untuk menatap bulan itu lagi. Setiap kali memandang bulan tersebut, dia akan merasa betapa ruginya dia sebagai seorang wanita yang telah menjual harga dirinya. Dia bangun perlahan-lahan lalu menaiki tangga rumahnya satu-persatu. Tiba-tiba, langkah lemahnya terhenti. Ustaz Jamil menarik lembut tangan mulus anaknya itu.
" Duduk sekejap,nak. Abah belum habis cerita lagi" lembut tuturan Ustaz Jamil.
Batrisya segera melabuhkan punggungnya di atas tangga itu semula. Dia masih mendiamkan diri.
" Batrisya .Semalam Taufik datang jumpa Abah. Dia cakap"kata-kata Ustaz Jamil terhenti di situ seketika. Gugup juga untuk meneruskan ayatnya.
"Dia nak ambil Batrisya menjadi isterinya"
Batrisya yang sedari tadi mendiamkan diri terkejut. Mungkinkah dia tersalah dengar? Ah! Tak mungkin!
" Dia nak Batrisya menjadi suri hidupnya. Dia nak Batrisya jadi makmum yang akan dia imamkan di setiap solatnya. Dia nak Batrisya menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal dia azankan nanti. Dia nak Batrisya jadi isteri yang akan dia bimbing dalam mengejar redha Ilahi"
Mengalir deras air mata Batrisya mendengar kata-kata lelaki separuh abad yang berada di depannya itu. Sungguh tidak pernah dia menyangka bahawa jejaka seperti itu akan memilih wanita sepertinya.
"Tapi, Abah, Batrisya tak"
Dia tidak segera menghabiskan kata-katanya. Pasti ayahnya sudah tahu apa yang bakal dia katakan.
" Jangan begitu, nak Dia ikhlas. Dia terima Batrisya seadanya. Abah tahu dia akan pimpin kau dengan baik, nak. Abah yakin pada dia. Jangan kau tolak lamarannya hanya kerana kau fikir kau tidak layak buatnya. Kerana kelemahanmu itulah kau perlukan pemimpin sepertinya. Percaya cakap abah, nak. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari"
Ustaz Jamil mematikan kata-katanyanya di situ. Kini,segalanya ada di tangan Batrisya. Tidak pula dia ingin memaksa Batrisya. Dia ingin Batrisya bahagia.
Merah pipi mulus Batrisya apabila Taufik memberikan kucupan hangat di dahinya pada hari mereka diijabkabulkan. Sungguh tidak dia sangka lelaki yg baru dia temui sekali, kini sudah sah menjadi suaminya. Pada saat itu juga, Batrisya merasakan cinta yang begitu besar lahir dari hatinya. Tulus dan suci buat Taufik satu-satunya.
Di dalam hati dia mengucapkan syukur yang tidak terkira tingginya ke hadrat Ilahi kerana menghadirkan seorang insan mulia dalam kehidupannya. Semoga dengan kehadiran lelaki mulia yang kini bergelar suaminya, mereka sama-sama dapat menjejak dan mencari cinta yang paling agung itu. Cinta yang tidak ada tandingnya. Cinta Ilahi.
Di dalam hati kecilnya berbisik.
"Kaulah kebahagiaanku ketika di dunia. Kau jugalah kebahagiaanku nanti di sana. Redhakanlah aku menjadi isterimu. Agar kita dapat bertemu dan bercinta semula di syurga."Mengalir air mata kasihnya tatkala merenung cincin di jari manis yang menjadi tanda ikatan cinta mereka berdua.
Sememangnya cinta itu sering kali dikaitkan dengan keindahan, dan sering sahaja mengundang senyuman.  Ada yang sanggup memperjuangkan cinta sehingga sanggup pula melepaskan yang dimiliki demi mengejar cinta.  Lihat sahaja paparan di media pada hari ini,  tataplah berita di kaca televisyen dan internet,  bacalah berita di akhbar dan majalah.  Setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, para remaja di "bomb" dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan yang boleh merangsang mereka agar tunduk kepada nafsu. Biasalah bila dah baligh, umur pun sudah meningkat, tanpa godaan pun keinginan tersebut akan timbul juga secara automatik. Apatah lagi sekiranya terdapat banyak godaan daripada suasana sekeliling. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual tu boleh teransang berlipat kali ganda malah, kadang kala ia turut berlaku pada belia yang baru menginjak ke usia remaja lagi.
Berita baru-baru ni mendedahkan kes remaja berumur 14 tahun secara senyap-senyap menjadikan hubungan seks sebagai hobi, dan ibu bapa remaja terbabit tidak tahu menahu langsung akan hal tersebut. Perkara ini mungkin mengejutkan masyarakat yang membacanya tetapi sebenarnya perkara sebegini sudah banyak terjadi dalam masyarakat kita. Ini kerana semuanya tidak mustahil apabila terdapat godaan dan rangsangan yang terlalu banyak di media massa dan elektronik. Maka inilah akibatnya apabila segala-galanya tidak dibendung dan segala perkara yang haram dihalalkan. Penyebab utama yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral para remaja Islam.

Wednesday 27 July 2011

senyum itu indah....

Tersenyum, betapa mudahnya hal ini dilakukan. Hanya butuh sedetik untuk merubah bentuk bibir menjadi senyum.  Dan hanya memerlukan  tujuh detik mempertahankan sang senyum untuk terlihat sebagai ungkapan ketulusan hati.
Tetapi kenapa hal sederhana ini jarang terlihat?  Wajah-wajah di jalan, di angkutan umum, di kantin, di pejabat, bahkan di tempat awam yang seharusnya menjadi kebun senyum, justru terlihat muram.  Kerutan-kerutan di wajah menunjukkan betapa berat beban yang harus ditanggung wajah-wajah itu.  Banyak wajah yang daerah diantara dua matanya mengkerut.  Menyeramkan dan tampak garang. 
Senyum itu sudah hilang dari wajah banyak orang.  Entah kenapa senyum – bahkan tawa – yang selalu cerah menghiasi wajah-wajah itu dari kecil, sirna begitu saja.  Sekarang, bahkan bukan hanya wajah-wajah tua dan dewasa yang telah kehilangan senyum manis.  Wajah para remaja dan anak-anak pun telah ketularan kerutan-kerutan penuh beban itu.
Senyum pada hakikatnya adalah salah satu anugerah indah dari Tuhan Yang Maha Indah.  Tuhan sengaja menganugerahkan  senyum sebagai bagian dari keindahan manusia.  Sayang, anugerah indah ini, tidak banyak ditemui di wajah banyak manusia.  Dunia akan jauh lebih indah bila penduduknya gemar tersenyum.
Hidup dan kehidupan manusia pun akan lebih indah dan menenteramkan bila kita menemui banyak senyum di sekeliling kita.  Terutama sang senyum dari wajah kita sendiri. Bukankah sangat enak bila kita menerima senyum?  Dan bukankah jauh lebih enak bila kita lah yang memberi senyum?
Saudara, senyum yang sederhana, mudah dan gratis itu ternyata menyimpan banyak keajaiban.  Setidaknya dari berbagai pengalaman dalam hidup saya.  Yap, dalam hidup saya, saya menemui banyak keajaiban.  Bentuknya macam-macam.  Ada  kemudahan, kesehatan, kekayaan, kebaikan, solusi dan sebagainya dari sebuah senyuman.